3 Dec 2006

Asmin Mudin akui merajuk dengan sikap segelintir artis tempatan

Tewas Kotoh Langkah awal bergelar artis rakaman

Oleh Boyd PV
(boyd_pv@yahoo.com)

Di pentas hiburan tempatan yang sekangkang kera inipun ada artis kita yang khabarnya bersikap sombong sesama sendiri. Entahlah. Kalau hendak ditulis kisah-kisah negatif artis tempatan kita, memang banyak. Tapi memandangkan cerita-cerita begitu tidak akan menyumbang kepada pembangunan industri muzik tempatan yang belum jelas halatujunya ini, penulis buat-buat tak tahu.

Cuma setelah mendengar cerita yang satu ini, penulis rasa perlu juga luahan rasa si peyampai berita itu diberi tumpuan. Asmin Mudin suatu nama yang gah di peringkat nasional. Pencipta lagu yang berjaya dan di Sabah, Asmin berkarya menggunakan nama timangannya, Umbut.Bukan sedikit artis tempatan kita yang pernah menggunakan khidmat Asmin, samada sebagai pencipta lagu, penulis lirik, penerbit album dan segala macam kerja berkaitan rakaman album. Terbaru, Asmin berduet dengan Lydia Kalidin dalam lagu Tewas Kotoh, yang dimuatkan dalam album kedua artis Skyline itu. Lagu itu memang menarik dan menjadi bukti selain dari hebat mencipta lagu dan menulis lirik, Asmin juga mempunyai suara yang komersil. Rupa-rupanya ada cerita panas di sebalik keputusan Asmin untuk mahu dikenali sebagai penyanyi. Ketika bersembang dengannya minggu lepas, Asmin memberitahu dia sudah bersedia untuk menghasilkan album solo sendiri.

Ditanya kenapa dia tiba-tiba terpanggil untuk menghasilkan album sendiri sedangkan dia sebelum ini banyak terbabit dalam kerja-kerja belakang tabir, Asmin tenang memberitahu: “Banyak sebabnya. Tapi yang paling ketara ialah saya sebenarnya merajuk dengan sikap segelintir artis tempatan kita yang pernah saya bantu. Bila sudah agak berjaya, mereka seperti tidak nampak kita. Lalu depan pun tidak menegur, macam kita tidak ada di sana,” kata Asmin. “Sebab itulah, saya terfikir, daripada bersusah payah menaikkan nama artis itu dan ini, ada baiknya saya tampil dengan album saya sendiri.” Album solo Asmin sedang di peringkat awal pembikinan. “Hasrat memang ke arah itu. Tapi saya perlu mengenalpasti dahulu arah muzik saya. Kalau kita lihat Abu Bakar Ellah, dia mempunyai imej yang jelas dalam lagu-lagunya. Saya tidak mahu menghasilkan album rojak. Kalau tiada aral melintang, saya harap album saya akan berada di pasaran tahun depan,” kata Asmin yang turut dihambar kesibukannya sebagai mahasiswa tajaan MACP yang mengkhusus dalam bidang Seni Persembahan (Muzik) di Universiti Malaya.

Memang eloklah tu Asmin, daripada bersusah payah menaikkan nama orang lain, baik tumpukan kepada bakat dan kemampuan sendiri. Suara pun komersil, memang eloklah jika Asmin jadi penyanyi pula setelah mencipta nama sebagai penulis lirik dan pencipta lagu.

1 comments:

Anonymous said...

Saya setuju dengan kenyataan En. Asmin Mudin, memang pedih dan kesal bila kita begitu bersungguh dalam menaikkan seseorang artis namun kita sebagai seseorang yang membawa kepada matlamat mereka untuk naik terbiar selain menjadi cuma bayang-bayang yang berada sekan jauh dari mereka kemudian. Ada ramai artis yang menjadi seperti ini lebih2 mereka kemudian mempunyai orang2 yang muncul kemudian membantu lebih2 mereka itu yang seperti umum tahu adalah 'mereka kata lebih bagus..yang biasanya merujuk kepada pakar, canggih, serba serbi melengkepi pakej tenaga dalam membawa lebih kejayaan atau andaian bahawa mereka akan lebih berjaya selepas itu selepas cuma memiliki akar dahulu...saya amat memahami perasaan seperti ini kerana saya memerhati dan melalui sedikit keadaannya. Mungkin bukan dalam bidang ini tetapi dalam bentuk yang lain yang mempunyai nilai yang sama dalam kehidupan ini.