8 Apr 2007

Ulasan Konsert AF minggu 4

Fatin - Joget Gila Bayang (Anita Sarawak)
Sebuah lagi lagu yang amat bersesuaian dengan corak penyampaian Fatin yang begitu serasi dengan genre irama Malaysia, justeru dapat disempurnakan oleh beliau dengan cukup baik. Lenggok irama kemelayuannya begitu semulajadi dan cukup bersahaja. Penampilan beliau yang begitu anggun menambahkan lagi seri lagu tersebut. Lontaran nada suara juga tidak banyak masalah dan hampir-hampir sempurna. Cuma tone suara beliau yang agak lembut mengurangkan keceriaan lagu tersebut, terutama pada rangkap korus. Memandangkan sudah empat minggu beliau membawa lagu dari genre yang sama (irama Malaysia), teringin juga mendengar Fatin membawa lagu dari genre lain, malangnya impian tidak kesampaian bila beliau diumumkan sebagai salah seorang dari tiga pelajar tersingkir.


Shawal - Izinkan Ku Pergi (Kaer)
Persembahan drama pentomin menambah keasyikan persembahan Shawal. Walaupun memiliki suara yang agak 'jantan' namun persembahan vokal beliau begitu sekata, kurang 'berwarna-warni'. Saya menjangkakan sedikit perubahan melodi dengan penggunaan head tone, namun tidak dilakukan. Persembahan vokal beliau juga kerap dicacatkan oleh beberapa nada yang tersasar. .

Candy - Setia Ku Korbankan (Fauziah Latiff)

Tak pasti apa yang mengganggu Candy, perkataan "inilah.." tidak disebut dan hanya dimulakan dengan perkataan "dugaan". Namun selepas itu Candy menampilkan satu elemen yang begitu membezakan beliau dengan pelajar-pelajar lain; suara yang cukup lantang, mantap dan gemersik. Projeksi suara 'head tone' beliau begitu terserlah dalam lagu ini. Setibanya beliau pada rangkap penutup untuk barisan lirik "andainya tak mungkin kumiliki....", rancangan awal untuk mengubah sedikit melodi pada baris ini tidak menjadi (Candy sebelum ini ada mencipta melodinya sendiri yang agak menarik untuk bahagian ini, sebelum diubah oleh Cikgu Adnan pada saat-saat akhir). Mungkin dalam kebingungan, beliau akhirnya memillih untuk menyanyi melodi asal Jee (itupun hampir-hampir tak disuarakan). Aksi beliau cuba menghafal beberapa melodi yang diubah mendapat perhatian Jee, justeru timbullah komen Jee yang berbunyi "masa bermain dengan vokal, you must be sure. Masa Candy nak ubah-ubah tadi tu, you must be sure!". Walau apapun yang penting persembahan vokal Candy cukup terserlah 'warna warni' nya dalam lagu ini (ada whisper, husky dan head tone yang sharp dan nyaring). Jika dihayati betul-betul adakalanya boleh meremang bulu roma!

Farha - As Long As You Love Me (Backstreet Boys)

Satu persembahan yang agak mudah dilaksanakan oleh Farha. Koreografi yang menarik banyak membantu mencantikkan persembahan beliau. Nada suara juga kebanyakannya well in tune, cuma lontaran suara agak kurang berkeyakinan semasa adlibs (sedikit out of tune pada adlib yang akhir). Walaupun sebutan English agak baiklah juga, namun bunyi suara beliau yang agak keras menyebabkan lagu ini kurang diberi penjiwaan English. Mungkin some people are not meant to sing in English.(Tapi square hat dia ni macam kecil untuk kepala dia)

Aswad - Hakikat Sebuah Cinta (Iklim)
Antara persembahan dengan 'pitching' yang hampir sempurna. Persembahan beliau kali ini begitu menjadi. Namun showmanship masih perlu diperbaiki. Kelihatan agak stereotype dengan persembahan yang sebelumnya.

Mila - Benci Tapi Rindu (Diana Nasution).
Satu keistimewaan Mila semasa menyampaikan lagu ini ialah 'bunyi' suara beliau yang begitu jelas kedengaran (tidak kedengaran sayup-sayup seperti kebanyakan pelajar lain). Mungkin ini sedikit sebanyak berkaitan dengan pengalaman beliau menyanyi di pub, justeru begitu bijak dan mahir dengan teknik penggunaan mirofon (keadaan yang sama juga saya perhatikan pada Fatin dan Aswad). Persembahan vokal yang agak menarik walaupun percubaan beliau menambah lenggok pada beberapa bahagian lagu mengakibatkan sedikit nada tersasar. Sekali lagi satu peningkatan buat Mila.

Heliza - Torn (Natalie Imbruglia)
Key lagu agak rendah untuk suara beliau. Suara beliau yang begitu lembut, kedengaran sayup-sayup terutama pada bahagian nota rendah lagu ini. Ekpresi wajah dalam menghayati lagu ini agak baik. Satu percubaan untuk menampilkan versatility beliau malangnya tidak berapa diendahkan oleh juri.


Rizal - Di Ambang Sore (Ahmad Jais)
Persembahan vokal dengan nada yang kerap tersasar landasan. Beliau gagal memberi impak berkesan pada lagu ini. Gubahan musik yang kurang menarik dilemahkan lagi dengan persembahan Rizal yang kurang bermaya.

Aizat - La Camisa Negra (Juanes)
Iringan live band begitu menghidupkan persembahan Aizat. Tidak banyak nada suara tersasar walaupun menyampaikan sebuah lagu rancak dan banyak melakukan pergerakan. Beliau perlu meningkatkan lagit showmanship beliau semasa menyampaikan lagu-lagu sebegini. Satu persembahan yang begitu menghiburkan dan bagi saya yang terbaik malam itu.

Dekna - Salam Untuk Kekasih (Nadia)
Lagu yang agak bersesuaian dengan vokal dan gaya penyampaian beliau. Gangguan nada tersasar banyak ketara pada low note. Secara keseluruhan satu persembahan yang baik dari Dekna. Satu peningkatan yang baik dari beliau. Walaupun lirik berbunyi "salam maaf permisi ku undur diri..." yang diulang-ulang membawa mesej yang menakutkan yang pasti Dekna terselamat malam itu.

Dafi - Zikir Kasih (Amir Ukays)
Koreografi menarik banyak membantu persembahan beliau. Tona suara dalam kategori lembut gemersik (kurang "sharpness") bukannya tak menarik, tapi agak kurang berkesan membawa lagu berirama Malaysia. Namun lenggok suara beliau amat menarik dan tak sangka pula Dafi sebagai seorang yang dikatakan dari golongan keluarga elit (berada) dan urban boleh membuat lenggok irama Malaysia dengan baik. Seperti biasa ekspresi wajah beliau, yang diistilahkan oleh peminat fanatik wanita sebagai cute sedikit sebanyak menyerikan persembahan beliau.

Noni - Pastikan (Siti Nurhaliza)

Kesulitan beliau menyanyikan lagu ini semasa latihan nampaknya berterusan sehingga ke pentas konsert. Walaupun melakukan satu permulaan yang agak baik, namun vokal Noni mula kehilangan tenaga selepas korus pertama. Maka bermulalah kesulitan dalam usaha beliau meletak nada suara pada tempat-tempat yang sepatutnya. Kebanyakannya gagal menepati sasaran. Peragaan gaun yang cukup menarik sedikit sebanyak mengalihkan tumpuan saya daripada terus mendengar suara beliau kepada mengamati penampilan beliau.

Ebi - Kasihnya Laila (Jinbara)

Kredit:teaoya

Malam itu bolehlah dianggap sebagai malam mempromosikan Ebi. Dengan transformasi penampilan diri yang diberikan, Ebi kelihatan begitu yakin sekali. Gerak langkah beliau semasa menyampaikan lagu tersebut sehingga melompat ke bawah pentas, seolah-olah sambungan kepada sesi peragaan yang dilakukannya sebelum itu. Cukup berkeyakinan. Projeksi suara yang cukup keras cuba ditampilkan oleh Ebi dalam lagu ini. Malangnya kedengaran banyak nada yang tidak menepati sasaran, terutama pada bahagian rangkap korus. Screeching yang dilakukan juga kurang menjadi. Walau apapun keagresifan persembahan beliau sungguh diluar jangkaan dan berjaya memukau penonton, sehingga juri terlupa komen tentang 'pitching' beliau (mungkin kalau Hattan ada pada malam itu beliau akan menyentuh perkara ini)

Rata-rata pelajar menunjukkan peningkatan dalam persembahan mereka. Walau bagaimanapun sesuatu yang saya kurang puashati ialah kualiti penyanyi latar. Bunyi suara penyanyi latar agak tidak seimbang. Kedengaran suara dari penyanyi latar agak kuat dari penyanyi utama. Bukan sahaja kuat tapi adakalanya kedengaran sumbang dan sedikit sebanyak mencacatkan persembahan. Saya teringin mendengar kualiti penyanyi latar seperti yang pernah dibimbimg Sham Kamekazee.

Carta persembahan terbaik
1.Aizat 2.Candy 3.Mila 4.Fatin 5.Aswad 6.Shawal 7 Farha 8.Dekna 9.Heliza 10.Ebi 11.Dafi 12.Rizal 13.Noni
Sketsa kelakar - Back Street Boys cakap Melayu..*LOL*
Penyingkiran
Tiga penyingkiran sekaligus memang kejutan yang sungguh sadis dan tidak adil pada pelajar. Mila agak beruntung, sebab di minggu-minggu beliau berada di tangga dua atau tiga terbawah kebetulan minggu tersebut tiada penyingkiran. Ini berlaku pada minggu pertama dan ketiga.




0 comments: