10 Jul 2007

Cerita Adam

Adam AF2 betul-betul serik!

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Ketepi bisnes, tumpu kerjaya

FOKUS Adam AF2 kini hanya pada kerjaya seninya semata-mata dan tidak mahu lagi mengingatkan kontroversi peribadi yang melanda dirinya baru-baru ini.

Naib juara Akademi Fantasia musim kedua (AF2) yang kini popular dengan lagu Joget Lambak mengakui kontroversi boleh menjejaskan masa depannya sebagai anak seni.

“Saya dah serik. Kontroversi boleh jejaskan kerjaya saya, sedangkan perjalanan saya masih jauh. Masih banyak impian belum saya gapai membabitkan dua cabang seni yang diceburi, nyanyian dan lakonan.

“Saya tidak sangka dalam usia muda dan tempoh singkat melayari kehidupan sebagai anak seni, saya berhadapan pelbagai ujian yang menguji ketabahan.

“Apapun, saya tidak ingin beri sebarang kenyataan lagi berhubung kontroversi itu kerana tidak ingin menyinggung perasaan mana-mana pihak.

“Apa yang boleh saya katakan, semuanya sudah diselesaikan secara baik antara saya dan keluarga angkat di Kota Damansara. Buat masa ini, kerjaya seni saya utamakan dan soal bisnes saya ketepikan dulu. Cukuplah dengan apa yang berlaku sebelum ini kerana banyak yang saya belajar dari pengalaman pahit itu,” katanya.

Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman, 23, mahu menjadi artis berdisiplin dan tidak mahu menimbulkan masalah kepada mana-mana pihak. Janji Adam ini dibuktikan dengan kehadirannya tepat pada masa dijanjikan ketika sesi fotografi untuk promosi filem terbaru lakonannya, Diva.

Diva yang sudah menjengah pawagam tempatan bermula 28 Jun lalu adalah taruhan terbarunya selepas filem Cinta Fotokopi dan Main-Main Cinta.

“Lakonan saya dalam dua filem sebelum ini nampak ‘keras’. Watak saya dalam Cinta Fotokopi hanya penampilan khas tapi dalam Main-Main Cinta, saya bawa watak hero. Apapun, saya anggap dua filem itu pengalaman pertama dalam bidang lakonan.

“Saya juga bersedia menerima kritikan kerana menerusi kritikan kita belajar memperbaiki kelemahan,” katanya.

Katanya, banyak ilmu ditimbanya dalam filem Diva arahan Sharad Sharan yang diterajui Ning Baizura dan pelakon terkenal Indonesia, Jeremy Thomas.

“Selain berpeluang bekerja dengan pengarah dan pelakon luar, Diva membabitkan kerjasama tiga negara, iaitu Malaysia, India dan Indonesia. Diva juga dipasarkan di lima negara, Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan India.

“Saya memegang watak Idit, anak tunggal yang ditimpa malang dan tidak punya sesiapa selepas kematian ibu bapanya dalam kemalangan jalan raya. Selepas bertemu Kartika (Ning Baizira) dan bergabung dengan kumpulan Jiwa yang dianggotai Jay (Awal), Mira (Jesissca Iskandar) dan Eja (Balkisyh), hidupnya mula berubah,” katanya.

Adam berkata, dia tertarik berlakon dalam Diva kerana selain ada elemen Bollywood, ia juga bercorak drama muzikal.

“Antara babak paling susah ialah ketika Idit menjayakan babak kemalangan kereta tapi saya sudah melaksanakan tanggungjawab itu dengan baik.

“Saya yakin gandingan semua pelakon mempunyai keserasian dalam merealisasikan filem Diva seperti diharapkan penonton filem Melayu.

“Penonton pasti tersentuh dengan lakonan mantap Ning dan Jeremy dalam cerita ini. Selain itu, saya juga seronok bekerja dengan Awal dan Balkisyh kerana masing-masing masih baru.

“Pada masa sama, ini kali pertama saya bekerja dengan Ning. Dia cukup profesional di lokasi,” katanya.

Dalam pada itu, sekalipun gagal ke peringkat separuh akhir pertandingan nyanyian terbitan Astro, Ikon Malaysia yang diumumkan baru-baru ini, Adam tidak patah semangat untuk meneruskan perjuangan dalam bidang muzik.

Baginya, kalah atau menang adat dalam pertandingan.

“Apa yang penting, komitmen padu saya untuk mempromosikan album terbaru, Adam II terbitan KRU Music Group (KMG) yang sudah menjengah pasaran.

“Album Adam II dilancarkan sempena percutian joget lambak Adam di Cinta Sayang Golf and Country Resort, Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.

“Alhamdulillah, album ini mendapat sambutan memberansangkan. Buat permulaan, ia sudah mencatat jualan melebihi 5,000 unit.

“Kontroversi yang melanda sebelum ini nampaknya tidak menjejaskan sokongan peminat pada saya,” katanya. Selain Joget Lambak, lagu lain yang terkandung dalam album Adam II ialah Gila Bayang, Tak Tahu Antara Dua, Esokan Ada, Potret Lama, Tak Seiring Bibir, Dusta, Ku Terpesona dan Aku Bingung.

Sumber Harian Metro Online

P/s: Obviously Adam is one of those who is still manage to maintain their popularity. Infact yang kira menyerlah amongst AF2 stars. Syabas to him. Tapi yang peliknya media sering nyatakan beliau ini sebagai naib juara AF2.

Adam tak pernah buang masa ke disko


0 comments: