5 Jan 2007

Lotter muatkan lagu etnik Sabah dalam album pertama

Oleh Jubaida Abdul Hamid
Hiburan Harian Ekspres

KEHADIRAN tahun baru 2007 memberi seribu satu makna kepada Lotter atau nama penuhnya Petrus Edwin Edin kerana katanya, banyak rancangan dan aktiviti sudah disusun sepanjang tahun ini.

Dia yang berharap dapat menghasilkan album sulung tahun ini, ingin memuatkan pelbagai lagu etnik, Sabahan di samping azam yang kuat untuk terus berjaya dalam bidang seni suara. “Saya akan terus mengekalkan azam untuk mencapai segala impian pada tahun 2007. Tahun ini ialah tahun sibuk bagi saya kerana selain merakamkan lagu album sulung, saya juga mempunyai jadual yang padat untuk mengadakan AF Tour di seluruh Malaysia dan Brunei yang dijangka berlangsung pada Januari dan Febuari ini,” katanya ketika mempromosi album ‘The Best of Lotter’ bersama penyanyi tempatan Den Bisa, di Dewan Masyarakat Lahad Datu pada 27 Disember lalu.

Di majlis itu lebih 1,500 peminat memenuhi dewan untuk menyaksikan persembahan kedua-dua artis tersebut. Bagi Lotter, 23, dia sangat teruja dengan sambutan peminat memandangkan ia adalah pengalaman pertama menjejakkan kaki ke Lahad Datu setelah bergelar artis. “Peminat di sini sangat ‘sporting’ dan sambutan sangat bagus sekali,” katanya ketika mengadakan konsert selama lebih satu jam. Lotter yang terkenal dengan ‘Pringgg’ menyampaikan empat lagu antaranya ‘Azizah’,’Sedang Ingin Bercinta’, ‘Bila April’ dan ‘Chow Kit Road’.

Nasihat Lotter kepada peminat sempena tahun baru ini:”Apa yang penting yakin pada diri sendiri, terus berjuang pada diri dan percaya pada diri bahawa segala yang dilakukan berpandukan kebaikan.” Mengenai album sulungnya, artis yang tidak pernah lokek senyum itu berkata:”Sebagai hadiah kepada peminat yang telah banyak memberi sokongan dan dorongan kepada saya sebagai artis baru, saya akan merakamkan album sulung tahun ini. Pada awal Januari ini, saya akan masuk studio untuk ‘recording’...pada masa ini juga saya sedang sibuk membuat lagu sendiri untuk dimuatkan dalam album itu,” katanya yang mahu memuatkan lagu Kadazandudun dalam album pertama. “Kalau boleh saya ingin menyampaikan lagu-lagu bahasa tempatan Sabah kerana secara tidak langsung dapat mempromosikan negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2007,” katanya.

Walaupun banyak menghabiskan masa di Kuala Lumpur sejak bergelar artis muda, Lotter tidak pernah melupakan kampung halamannya. Sempena Krismas lalu Lotter mengadakan rumah terbuka di rumahnya di Membakut Sabah. Pengalaman menyambut perayaan Krismas pada tahun ini dirasakan sangat berbeza kerana sudah bergelar artis. Kehadiran ramai saudara, rakan-rakan dan jiran serta peminat memberinya satu perasaan istimewa semasa berada di kampung. “Sambutan Krismas lalu merupakan pengalaman pertama saya sebagai seorang artis, dan ia amat istimewa sekali kerana ramai peminat dan kenalan baru datang ke rumah. Saya mula bercuti sejak 25 Disember 2006 dan selepas itu saya akan pulang semula ke Kuala Lumpur pada 3 Januari ini,” ujarnya

0 comments: