30 Jan 2007

Richado: bakat 'out-bound' dari Sabah?

Selama ini kebanyakan bakat-bakat yang popular dari Sabah biasanya terkenal di seluruh negara melalui pertandingan-pertandingan nyanyian peringkat kebangsaan. Mendiang John Gaisah, Flora Santos dan Atomic Power contohnya adalah antara bakat yang dikenali menerusi pertandingan Bintang RTM dan Bakat TV. Tidak ketinggalan bintang-bintang yang lahir dari program realiti. Terdapat juga beberapa artis seperti Nadia dan Den yang, walaupun tidak menyertai sebarang pertandingan, tetapi 'berhijrah' ke Kuala Lumpur dan menjadikan KL sebagai pengkalan permulaan melebarkan sayap seni mereka ke serata negara. Namun terdapat juga artis tempatan Sabah yang cuba menjadikan tempat sendiri (hometown) sebagai pangkalan dalam usaha mereka melebarkan sayap ke persada seni negara. Gelaran 'out-bound local talent' (established themselves locally, here in Sabah, before spreading out) amat bersesuaian diberikan untuk artis-artis dalam kelompok ini. Antara mereka yang saya rasa berada dalam kategori ini termasuklah Double Take, Atama (?) dan yang terbaru Richado.




Bukan Kisah Fantasi; Lambang Cinta julang nama Richado dalam masa yang singkat

Oleh Boyd PV


SEGALANYA berlaku tanpa dirancang. Selepas menamatkan pengajian dalam jurusan muzik di Universiti Malaysia Sabah. Richado pada mulanya berhasrat untuk menerbitkan album orang lain tetapi tidak bertemu dengan penyanyi yang sesuai untuk menyanyikan lagu-lagu ciptaannya. Sekadar ingin mencuba, pada tahun 2006, Richado merakamkan sendiri lagu ciptaannya, Lambang Cinta dan menghantar single itu ke Sabah fm. Di luar jangkaan penyanyi ini, lagu itu tersenarai dalam carta Hits Di Sabah FM dan muncul sebagai lagu yang paling lama bertahan dalam carta (25 minggu). Ia satu pencapaian yang cukup membanggakan bagi penyanyi yang memulakan kerjayanya di Sabah. Tambahan lagi lagu itu bersaing dengan lagu daripada penyanyi-penyanyi tanahair. Tidak berhenti setakat di situ, Lambang Cinta turut membawa bakat Richado ke Kuala Lumpur dan tersenarai dalam carta Jom Dengar Xfresh FM. Tempat ketiga adalah pencapaian terbaiknya dalam carta itu. Juga di Xfresh FM menerusi carta Independent Top Ten, lagu yang sama pernah menduduki tempat ke-2. Di Muzik FM, pencapaian terbaiknya ialah tempat keempat dan lagu itu juga kerap mendapat ruang siaran di KLFM. Richado turut mencuri ruang dalam carta Local Top 10 di Sabah Vfm menerusi lagu Inggerisnya, Sumandak Kota Marudu, yang ketika ini menghuni tangga ke-6.

Laluan Richado mencipta nama di pentas nasional tampak begitu mudah - umpama sebuah kisah fantasi. Apapun andaian anda, itulah realitinya. Dalam masa kurang setahun, penyanyi kelahiran Kota Marudu ini mula mendapat tempat di hati pendengar seluruh negara. "Saya bersyukur dengan penerimaan pendengar terhadap single saya Lambang Cinta. Saya sendiri tidak pernah menyangka sambutannya begitu menggalakkan. Bermula dengan sebuah single, saya akhirnya membulatkan tekad untuk muncul dengan sebuah album penuh, maka lahirlah Ricardo - The Beginning Of A Tune," kata penyanyi berumur 24 tahun ini ketika berkunjung ke pejabat Daily Express baru-baru ini.

Lebih menarik lagi, sedang nama Ricardo mula menjadi sebutan peminat, hakikat sebenar di sebalik tabir kerjaya penyanyi yang petah berbicara ini ialah album solonya belum pun ada di pasaran! "Memang benar, album sulung saya Ricardo - The Beginning Of A Tune belum ada di pasaran. Nama saya mula dikenali hanya menerusi single Lambang Cinta. Di Sabah, lagu Sumandak Kota Marudu turut mempopularkan nama saya. "Sebab itulah saya melihat pencapaian ini sebagai satu kebetulan. Saya bermula dengan single Lambang Cinta untuk mencuba bakat dan tidak sangka pula saya diterima baik oleh peminat. "Mengenai album solo itu, ianya sudah siap sepenuhnya dan kini menunggu masa yang sesuai untuk melantik syarikat yang akan mengedarkannya," kata Ricardo yang membayangkan album sulung dengan kos mencecah RM20,000 itu akan berada di pasaran dalam masa terdekat ini.

Ricardo sedar untuk berjaya dalam bidang ini, setiap perkara membabitkan perjalanan kerjayanya perlu diuruskan dengan profesional. "Kerana itulah saya melantik syarikat The Convolvulus Entertainment untuk menguruskan kerjaya saya. Saya berterima kasih kepada pihak pengurusan Convolvulus kerana kegigihan mereka dalam mengetengahkan nama saya," jelas anak keempat daripada lima beradik ini. Berkonsepkan R&B Pop dan Ballad Soul, album Richado - The Beginning of Time memuatkan 10 buah lagu yang mampu membuai perasaan si pendengar.

Seawal trek pertama, anda diperdengarkan dengan kelunakan vokal Richado menerusi lagu Kuperlukanmu. Mendengar lagu ini buat pertama kali, anda pasti menyangka ianya dinyanyikan oleh artis Indonesia. Hakikatnya memang begitu kerana susunan muzik dan melodinya banyak dipengaruhi oleh muzik dari negara jiran itu. Trek kedua menguji kemampuan Richado memperdengarkan lagu dalam bahasa Inggeris, When You're Gone. Selain lagu ini, dua lagi lagu Inggeris yang dimuatkan dalam album ini ialah Sumandak Kota Marudu (Trek 7 -menampilkan Kinabalu Kings) dan You Are Special To me (Trek 8). Lagu-lagu lain yang pasti menarik minat anda ialah Jangan Pergi, Semakin Jauh, Bahaya (menampilakn Alvy D, Jojo, Decipher dan Nazrie JIAJA) dan Kau Yang Ku Puja. Dua lagu lain ialah Lagu Untuk Tidurmu dan lagu hits Lambang Cinta (menampilkan Yohana)

Melihat kepada penampilan Yohana dalam lagu Lambang Cinta, mungkin ada pembaca yang ingin tahu siapa sebenarnya gadis itu. "Yohana adalah adik bongsu saya. Dia sedang mengikuti pengajian di UiTM Alor Gajah dan pembabitannya dalam album ini hanyalah secara kebetulan apabila saya hampir kecewa kerana gagal mencari penyanyi wanita yang sesuai untuk menyanyikan beberapa rangkap dalam lagu ini." katanya. Menerusi gandingan vokal Richado dan Yohana maka lahirlah lagu hebat Lambang Cinta. Namun nama Richado lebih banyak disebut berbanding Yohana, mungkin kerana faktor penggunaan perkataan "featuring" dan bukan "duet" ketika memperkenalkan Yohana dalam album ini, sila komen. "Saya tidak fikir itu satu masalah. Kesemua penyanyi yang terbabit dalam album ini adalah "featuring", termasuk Yohana. Album ini memberi tumpuan kepada kerjaya nyanyian saya. Lagipun Yohana sendiri sebenarnya sedang merangka kerjaya nyanyiannya sendiri."

Bagi anda yang masih agak samar mengenai latarbelakang penyanyi ini, Richado atau nama penuhnya Richado Tawith lahir pada 31 Ogos 1982 di Kota Marudu. Meminati bidang penciptaan lagu dan penghasilan muzik, dia mula mencipta lagu ketika berada di sekolah menengah. Pada tahun 2000, dia mendapat sokongan dan galakan daripada bapanya untuk mendalami bidang muzik (bapanya sendiri, Tawith pernah menjadi penyanyi satu ketika dahulu) dan mengambil bidang seni persembahan dalam jurusan Muzik di UMS. Tamat pengajian, Richado menimba pengalaman bekerja di beberapa buah syarikat berkaitan muzik di Sabah dan Kuala Lumpur sebelum bertugas sebagai Pegawai Kebudayaan di DBKK sehingga kini.

Single Lambang Cinta membuka ruang untuk Richado muncul dalam beberapa persembahan pentas termasuk di Stadium Bukit Jalil sempena Sukan Fespic KL'06 tidak lama dulu.

"Saya mengharapkan agar peminat akan terus memberi sokongan kepada kerjaya saya yang baru bermula." katanya. Terbabit dalam dunia glamor ini, Ricardo sedar dia akan terdedah kepada pelbagai gosip yang ada ketikanya terlalu kejam. Belumpun jauh perjalanan seninya, dia sudahpun mula dikaitkan dengan Salima AF4. Entah apa lagi yang bakal menunggunya selepas ini. "Gosip dan artis umpama isi dan kuku. Bagi saya, kalau sekadar usikan tidak mengapa seperti yang berlaku sebelum ini di mana saya dikaitkan dengan Salima. "Tapi jika diuji gosip yang mencabar maruah diri dan keluarga, saya akan bersuara jika perlu. Apapun, saya sudah bersedia mengharungi dunia hiburan yang penuh dugaan ini. Doakan kejayaan saya," katanya mengakhiri perbualan.



P/s: So kepada mereka yang pernah e-mail saya berhubung Richado, harap berpuashati dengan artikel ini. Seperti mana yang saya jelaskan album beliau belum berada di pasaran.

Berhubung ejaan nama tu sayapun kurang pasti mana satu yang betul "Richado" atau "Ricardo" yang pasti bunyinya ialah "RiKado".

0 comments: