20 Nov 2007

Wanita kelahiran Sabah cuba jatuhkan Howard

Penny Wong sewaktu mengangkat sumpah di
Dewan Senat. Di sebelah kirinya ketua Senat,
yang juga Menteri Pertahanan, Robert Hill. (foto Bernama)

MELBOURNE: Seorang wanita kelahiran Sabah adalah antara perancang utama Parti Buruh Australia (ALP) untuk menewaskan kerajaan Perdana Menteri John Howard dalam pilihan raya umum Australia pada Sabtu ini.

Senator Penny Wong Ying Yen, yang dilihat sebagai bintang sedang menyinar dalam politik Australia, telah berada di ibu pejabat ALP di Sydney sejak enam minggu lepas untuk merancang kekalahan Howard dan parti gabungan Liberal-National pimpinannya yang telah berkuasa sejak 11 tahun lepas.

Wong, 38, wanita kelahiran Asia yang pertama dipilih ke Parlimen Australia, adalah anak kepada arkitek dari Kota Kinabalu, Francis Wong Yit Shing.

Beliau datang ke Adelaide ketika berusia lapan tahun dan selepas pengajiannya menjadi seorang peguam sebelum memenangi kerusi Senat pada 2002 bagi mewakili negeri South Australia.

Jika ALP, yang diketuai Kevin Rudd memenangi pilihan raya kali ini, Wong dijangka dilantik menganggotai kabinet pusat.

Beliau kini merupakan jurucakap parti itu mengenai hal-ehwal pentadbiran awam dan akauntabiliti selain mengenai penyertaan tenaga kerja dan tadbir urus korporat.

Wong juga diramal menjadi Ketua Senat di masa depan, menjadikannya ahli politik ketiga paling berpengaruh di Australia selepas Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Menjelang pilihan raya ini, beliau diberi tanggungjawab besar membuat persiapan ke arah peralihan kerajaan jika ALP menang. BERNAMA


Hmmm...I wonder if she's gonna invite Che'nelle to sing during her campaign...=)

0 comments: