Esther pikat hati Paul
Esther atau Elizabeth Applunius Chin, 22, sudah bergelar penyanyi di negeri kelahirannya, Kota Kinabalu, Sabah sebelum menjejaki program realiti ini.
Menurut gadis yang meminati muzik modern blues, R&B, Soul dan Jazz Fusion ini, dia pernah mempunyai album bahasa Kadazan-Dusun di Sabah pada tahun 2005.Walaupun begitu, Esther masih gerun untuk menyertai program ini setelah mengetahui dia bakal bersaing dengan ramai artis kelak.
“Saya berasa tergugat, tidak yakin dan tidak senang duduk apabila berada di top 20. Semuanya bermain di fikiran saya apabila mendapat tahu ramai di kalangan peserta yang terpilih adalah daripada kalangan artis.
“Saya takut sebab lagu penyanyi yang sedia ada selalu berkumandang di radio dan ramai orang telah mengenali mereka.
“Apabila saya melihat ramai sudah tersingkir, perasaan bimbang mula hilang dan takut pula hendak mengalah.
“Saya masih ingat lagi Paul ada memberitahu saya selepas saya menyanyikan lagu terakhir, dia kata saya nampak tua dari dahulu hingga sekarang.
“Selepas saya menyanyikan lagu Super Woman, dia ‘impress’ dengan cara nyanyian saya dan merasakan seolah-olah saya sedang mengalami situasi dalam lagu itu,” beritahu Esther yang merasakan Aweera, Amylea, Rizu dan Pija merupakan antara pesaing terdekatnya. Esther bagaimanapun berasa bertuah apabila dapat bersaing sekali dengan Amylea di mana sebelum ini dia pernah mengundi penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 3 (AF3) itu semasa di dalam AF.
“Jika dulu saya meminati Amylea tetapi kini kami sama-sama bersaing dan berkongsi bilik lagi bersamanya serta Fifi dan Ayu,” luah Esther yang pernah mempunyai pengalaman menyandang gelaran juara dalam pertandingan Bintang Kecil Kebangsaan RTM 1998.
Cerita Esther, dia pernah mengikuti ujibakat AF sebanyak tiga kali namun semuanya kecundang gara-gara masalah ‘over’.
“Semasa ujibakat AF yang pertama, juri mengatakan saya terlalu yakin. Jadi, sebab itu tidak terpilih.
“Kali keduanya, iaitu pada tahun lalu, saya dikatakan ‘over feel’ lagu yang dinyanyikan.
“Jadi, apabila layak memasuki pertandingan kali ini, saya mendapat satu ‘point’ untuk membuktikan yang saya tidak ‘over feel’ dan ‘over confident’ lagi,” tutur peserta yang mengagumi penyanyi Anita Baker ini.
Selain mempunyai vokal yang mantap, Esther turut menyedari keistimewaan jari ‘kontot’ di kakinya membawa tuah mengikut kepercayaan moyangnya.
“Saya tidak malu dengan jari ini malah merasakan ia memberikan tuah kepada saya.
“Oleh itu, saya akan mempersiapkan mental yang kuat sehingga ke setiap konsert mingguan nanti.
“Sekarang ini memang saya berasa sedikit tertekan disebabkan saya perlu memilih dua buah lagu ‘in advance’ sebelum dipilih untuk dinyanyikan di konsert nanti,” kata anak kelima daripada lapan beradik ini.
0 comments:
Post a Comment