Album Linda dalam bahasa Kadazandusun yang pertama telah mula menemui peminat sekitar 18 Julai lalu. Album ini merupakan keluaran sulung syarikat LNE (Linda Nanuwil Entertainment). Terdapat sepuluh trek kesemuanya, namun dari sepuluh trek tersebut hanya lapan trek merupakan rakaman lagu penuh, selebihnya (Trek 9 dan Trek 10) merupakan versi edit dan re-mix untuk dua buah lagu dalam album tersebut. Linda mencipta sendiri enam buah lagu dalam album ini, manakala dua buah lagu lagi adalah hasil sumbangan Asmin Mudin dan Mackey Apison. Penulis lirik pula terdiri daripada Mattinin Yukim, Francis Jainis serta Linda sendiri. Susunan muzik untuk kebanyakan lagu digubah oleh Roger Wang yang juga merangkap jurutera bunyi (mixing dan mastering). Selain itu Mark Paul Baklin turut menggubah muzik untuk tiga buah lagu. Kesemua lagu dirakam di RAM Studio Kota Kinabalu.
Setelah mendengar kesemua lagu-lagu dalam album ini, tidak dinafikan vokal Linda begitu bersesuaian sekali mendendangkan lagu-lagu Kadazandusun. Lontaran vokal beliau amat serasi dan begitu menjiwai lagu-lagu yang didendangkan. Lagu-lagu yang dimuatkan juga tidak kurang menariknya samada dari segi melodi serta susunan muzik. Antara lagu yang secara langsung atau sekali dengar menawan halwa telinga saya ialah Oi Odu (Trek 4), Upus Om Langad Ku (Trek 3) dan Upus Tolidang (Trek 1). Lagu Kotohuadan juga agak menarik bilamana muziknya digubah ala eurobeat (walau bagaimanapun re-mix untuk lagu ini agak mengecewakan sedikit kerana tidak banyak perbezaan dengan muzik rakaman asal). Lagu Mitongkiad Kito (Trek 8) juga tidak kurang menariknya, gubahan muzik berkonsepkan orkestra agak mengkagumkan malangnya bukan orkestra akustik yang digunakan. Linda juga tidak lupa menyelitkan sebuah lagu berbahasa Melayu hasil ciptaan beliau sendiri pada Trek 8.
0 comments:
Post a Comment