24 Oct 2007

Jestie Alexius 4 : Sarat dengan vokal berharmoni


Seperti juga album-album beliau sebelumnya, tidak dinafikan album Jestie Alexius edisi keempat ini juga memuatkan lagu-lagu yang tidak kurang hebat. Malah dari Trek 1 sehinggalah ke Trek 12, kesemua lagu begitu menggamit halwa telinga saya. Ada sesuatu yang cukup menarik dan istimewa dalam lagu-lagu yang ditampilkan dan bila saya amati betul-betul, rupa-rupanya penggunaan vokal berharmoni agak begitu ketara (seolah-olah mendengar penyanyi berkumpulan). Bukannya beliau tidak pernah menampilkan lagu sedemikian sebelum ini (terutama versi acapella Kosorou Kopo Nangku Doho) tapi jika dibandingkan, kali ini penampilan vokal berharmoni agak begitu padu, sedikit rumit serta bersahut-sahutan dengan vokal utama.

Setelah mengamati kesemua lagu berulangkali (terutama semasa memandu), mungkin ada yang terkejut kalau saya memilih Trek 8 (Side B, Trek 2) lagu yang berjudul Tingkodon Noh sebagai lagu kegemaran peribadi. Susunan muzik dalam lagu berkonsepkan adult contemporary rock ini (terutama petikan gitarnya) begitu mengasyikkan. Cuma pada rangkap korus, bunyian gitar (muzik) sedikit menenggelami suara halus Jestie. Samada disengajakan, I'm fine with it, sebab ketika ini juga pendengaran terus tertumpu kepada kemahiran petikan gitar (termasuk bunyi bass sekali). Mendengar Lagu-lagu balada dalam album ini, termasuk lagu Inggeris Most of My Time Thinking of You, seolah mengimbas kembali nostalgia lagu-lagu dendangan kumpulan Michael Learns To Rock (mungkin ada kena mengena dengan susunan vokal harmoni yang yang saya sebutkan tadi). Jadi kalau anda menggemari lagu-lagu MLTR tiada alasan tidak menyukai lagu-lagu balada Jestie dalam album ini.

Berbalik kepada penampilan vokal harmoni dalam album ini, malangnya tidak dinyatakan pula mereka yang terlibat dalam nyanyian berharmoni tersebut. Apapun itu bukanlah satu isu besar. Bagi saya samada ianya dilakukan oleh sekumpulan individu atau secara solo (dengan bantuan 'vocal machine') yang penting lagu-lagu sebegini (termasuk juga beberapa lagu Dusun seperti Adaa - Clarice John) sedikit sebanyak memberi petunjuk pengkarya kita semakin 'adventurous' dalam merealisasikan kreativiti masing-masing sehingga menitikberatkan sekali aspek susunan vokal melalui penampilan vokal berharmoni yang agak tersisih sebelum ini (mungkin atas alasan mengganggu atau menjejaskan penampilan vokal utama). Sudah semestinya evolusi sebegini wajar kita sambut dengan satu tepukan gemuruh. Namun itu cerita vokal berharmoni versi rakaman. Bagaimana pula kalau versi live?. Adakah harmoni yang ditampilkan secara live, sekuat penampilan dalam album. Teringat pula persembahan live lagu Adaa semasa pertandingan juara Carta Dusun lalu. Harmoni yang begitu mengasyikkan dalam versi rakaman, dan dianggap sebagai sebahagian daripada 'pencantik' lagu tersebut, langsung tak kedengaran. Diharapkan Jestie tidak akan mengalami situasi serupa dan mampu mengekalkan 'kepaduan' vokal berharmoni beliau dalam album ini semasa penampilan live.

You can listen the demo on radioblog and more demos on JMI's blog

0 comments: