27 May 2007

E-Voke buktikan

E-Voke buktikan

Oleh FIRDAUS SAHAT

RAMAI mengaitkan kejayaan mereka terpilih menyertai program realiti televisyen, Gangstarz, menggantikan kumpulan dari Singapura, De L’Stellars adalah kerana simpati dan bukan berdasarkan bakat dimiliki.

Ada juga khabar angin mengatakan mereka hanya bernasib baik dan terpilih berdasarkan status sebagai ‘backup group’, namun semua itu tidak mengubah keadaan.

Pun begitu, jika hadir dalam industri kerana simpati dan bukan bakat, tentu kumpulan diberi nama E-Voke itu hanya mampu bertahan seminggu dua.

Namun, keadaan adalah sebaliknya. Ternyata, kumpulan ‘tiada bakat’ ini mampu melayakkan diri untuk bergelar finalis program popular itu. Terbukti, semua yang diperkatakan terhadap mereka tidak berasas.

E-Voke yang dianggotai Mailin Antikoh 19, Eryani Sahat, 24, Camellus, 19, Stracie Angie, 17, dan Eryande Sahat, 23, menerima kritikan itu dengan tangan terbuka.

Bagi mereka, kritikan akan menjadi sandaran demi mengukuhkan kedudukan manakala kritikan yang membunuh pula dilemparkan jauh-jauh.

Stracie berkata, kejayaan mereka menyertai program itu bukan kerana simpati, tetapi disebabkan rezeki ditakdirkan buat mereka.

“Kami tidak pernah mengenali pihak pengurusan. Jadi, bagaimana kami boleh meminta simpati mereka. Kami berusaha keras untuk layak pada peringkat pemilihan dan mungkin bukan rezeki, kami tidak terpilih hinggalah kumpulan dari Singapura itu menarik diri.

“Namun jika mahu mengatakan kami sekadar ‘backup group’, ada juga betulnya. Tapi tidak dinafikan sudah menjadi rezeki kami menyertai program itu. Bergelar peserta Gangstarz menjadi idaman dan impian kami semua.

“Namun jika tiada bakat, tidak perlu menyertai pertandingan ini. Kerana bakat dan minat mendalam membawa kami ke sini.

“Pun begitu, kritikan yang dilemparkan kepada kami dianggap sebagai pembakar semangat. Sebagai orang baru, ia sememangnya menjadi asam garam,” katanya.

Ketika awal pembabitan mereka dalam program itu, E-Voke dikecam kerana tidak mempunyai vokal untuk dilontarkan, sebaliknya mengutamakan tarian bagi memukau penonton.

Sebagai kumpulan baru, mereka tidak menolak perkara itu berlaku, malah menyedari ia sebahagian daripada kelemahan mereka. Namun, selepas berusaha mempelajari kesilapan daripada pengalaman dan tenaga yang sudi mengajar mereka, E-Voke kembali mendapat tempat di hati penonton.

Menurut Eryande, mereka sedar kesilapan dan kelemahan yang mereka miliki, tetapi berusaha menanganinya.“Kekuatan kami ada pada persembahan tarian dan mungkin sebab itu vokal menjadi lemah. Selepas menyedari ia adalah kesilapan, kami cuba memperbaiki mutu vokal supaya ada harmoninya.

“Pun begitu, kami tidak akan mengabaikan tarian, malah memperbaikinya supaya bersesuaian dengan vokal. Kali ini persembahan, termasuk tarian dan vokal, akan menjadi lebih baik,” katanya.

Jika dilihat menerusi program itu, saingan kuat datang dari kumpulan yang layak, terutama dari Indonesia, namun pada setiap minggu penyingkiran, E-Voke tidak tersenarai, malah kedudukan mereka semakin stabil



*Vokal harmoni kumpulan E-Voke is not that bad. Sekurang-kurangnya mereka menampilkan sedikit kelainan dari peserta-peserta lain. Kebolehan mereka menari dan menyanyi 'live' lebih baik daripada kumpulan-kumpulan yang pernah muncul sebelum ini seperti Elite, Res-2, X-Factor etc. Teringat pula kes tarik diri Zana AF5, kalau bukan kerana beliau menarik diri sudah tentu Mila tak jadi juara. Adakah E-Voke bakal mengalami nasib seperti Mila? Jeng...jeng...jeng!

0 comments: